Sebastian Vettel mempunyai hanya lima perlumbaan untuk menjamin masa depan di Ferrari musim depan apabila pasukan itu bercadang untuk menilai "prestasi dan motivasi" pemandu itu sebelum memuktamadkan sebarang keputusan, Mei depan.

Charles Leclerc menamatkan musim pertamanya bersama jaguh jentera Itali itu di atas juara dunia empat kali berkenaan apabila memenangi dua perlumbaan dan meraih tujuh kedudukan petak utama Formula Satu (F1) pada musim 2019.

Sementara itu, Vettel hanya meraih dua petak utama serta merekodkan satu kemenangan untuk menduduki tempat kelima dalam senarai pemandu.

Vettel, kini di bawah tekanan menjelang 2020 apabila memasuki tahun terakhir kontraknya, khususnya spekulasi semakin hangat bahawa juara dunia enam kali, Lewis Hamilton, memilih untuk menyertai Ferrari.

Max Verstappen, Valtteri Bottas dan Daniel Ricciardo juga antara pemandu yang kontrak mereka akan berakhir pada 2021, iaitu sebaik peraturan teknikal F1 yang baru dilaksanakan.

Walaupun tidak secara langsung, bos pasukan Ferrari, Mattia Binotto, menghangatkan spekulasi berkenaan dengan mengatakan prestasi Vettel akan dipantau rapi bagi membuat keputusan segera mengenai barisan pemandu dalam kempen 2021.

"Pada awal Mei depan, kira-kira dalam perlumbaan di Sepanyol, kami ingin tahu ke manakah hala tuju kami pada 2021," kata Binotto kepada pemberita.

"Saya rasa kami perlu duduk dengan Seb untuk membincangkan mengenai cara kami dan mengetahui lebih lanjut tentang niatnya pada masa depan.

"Kami perlu melihat prestasi dan bagaimana dia dapat menyesuaikan diri dengan keretanya dan motivasinya demi masa depan.

"Jadi, ia bukan tentang kesilapannya atau tidak, ia adalah satu perkara bagaimana dia melihat dirinya sendiri, sejauh mana masa depannya dan bagaimana kami melihat barisan pemandu kami. Kami perlu melihat strategi yang akan kami bangunkan tahun depan."

Begitupun, Binotto juga menegaskan pemandu berusia 32 tahun itu kekal sebagai bahagian penting dan dihormati dalam rancangan Ferrari.

"Seb adalah pemandu utama bagi kami -- dia menjadi pusat kepada projek kami," tambahnya.

"Dia adalah sebahagian daripada pasukan ini sejak bertahun-tahun lalu. Dia tahu pasukannya dengan baik.

"Dia mempunyai pengalaman luas. Dia pernah menjadi juara dunia sebanyak empat kali, jadi tiada keraguan bahawa pemandu seperti itu adalah kunci kepada projek kami."

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ferrari, Louis Camilleri, berasakan bahawa prestasi Leclerc akan mencetuskan ketegangan mengenai Vettel yang tidak dapat dielakkan.

Kedua-dua pemandu itu saling bersaing di antara satu sama lain yang menyebabkan mereka gagal meneruskan saingan dalam Grand Prix Brazil bulan lalu.

"Prestasi Charles jelas memberi kesan besar," kata Camilleri. "Ia tidak dapat dielakkan memandangkan anda sebagai juara dunia tetapi pemandu muda ini muncul dan mengharungi musim yang luar biasa.

"Anda perlu tahu bahawa di sebalik tabir, hubungan mereka sebenarnya berjalan dengan baik. Terdapat perasaan saling menghormati di antara mereka. Mereka bergurau bersama-sama dan melalui hubungan yang hebat.

"Mereka berdua sangat berdaya saing dan GP Brazil adalah mimpi ngeri. Bagaimanapun, suasana kembali jernih.

"Kadang-kadang anda memerlukan krisis untuk meletakkan matlamat sebenar di tempat yang sesuai.

"Saya fikir, pada masa akan datang, ia memberi kesempatan kepada Mattia untuk menanganinya dengan lebih baik. Dalam masa yang sama, ia juga menjadikan mereka jauh lebih mudah untuk akur kerana sedar kekacauan yang mereka telah timbulkan."

Pada awal bulan ini, Binotto mengesahkan tidak akan ada lagi status pemandu nombor satu musim depan dan kedua-duanya akan setaraf.