Satu cadangan daripada Formula 1 (F1) untuk mengadakan dua perlumbaan berturut-turut di Shanghai bagi musim 2020 sedang dalam pertimbangan, kata pengarah biro sukan bandar itu, Xu Bin.

Grand Prix China musim ini terpaksa ditunda beikutan pandemik koronavirus ketika musim ini masih belum bermula disebabkan krisis global berkenaan.

Awal bulan ini, F1 mengeluarkan kalendar bagi lapan perlumbaan pembukaan musim ini, yang dijadualkan di sekitar Eropah.

Perancangan bagi setengah musim berikutnya masih belum jelas disebabkan keadaan semasa Covid-19, dengan terdapat perancangan untuk mengadakan lebih banyak dua perlumbaan berturut-turut di satu venue yang sama selain perlumbaan di litar yang tidak berada dalam kalendar asal F1.

Xu berkata Shanghai sedang berusaha untuk menganjurkan perlumbaan itu pada penghujung tahun ini.

"Organisasi sukan antarabangsa amat mengambil berat mengenai sukan bertaraf dunia di China dan Shanghai," katanya kepada Radio Rakyat Shanghai.

"Di sebalik banyak perubahan terhadap acara kami disebabkan pandemik ini, kami menerima sokongan daripada organisasi sukan antarabangsa dan persatuan kebangsaan bagi sesetengah acara kami.

"Kami dibenarkan untuk mengadakan acara di Shanghai pada masa yang sesuai dalam separuh kedua tahun ini, bergantung kepada keadaan semasa pandemik ini," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan dua pelumbaan secara berturut-turut diadakan di bandar itu, Xu menjawab: "Belum ada sebarang keputusan dibuat. Ia dicadangkan oleh FOM (Pengurusan Formula 1).

"F1 telah mengumumkan bahawa mereka akan meneruskan lapan perlumbaan di Eropah tanpa sebarang pusingan di Asia. Acara asal telah ditunda kepada separuh kedua tahun ini.

"FOM bertanya dalam perbincangan itu adakah kami boleh menganjurkan dua perlumbaan di Shanghai.

"Ia masih belum diputuskan. Ia bergantung kepada situasi semasa pandemik ini," tambahnya.

Saingan F1 akan bermula di Austria pada 5 Julai ini.