Legenda MotoGP, Mick Doohan, menaruh keyakinan terhadap pelumba harapan negara, Hafizh Syahrin, yang terselamat daripada kemalangan ngeri Ahad lalu di GP Austria.

Insiden yang menimpa pelumba Aspar Team itu berlaku di selekoh pertama pusingan keempat selepas pelumba pasukan Italtrans Racing Team, Enea Bastianini, terlebih dahulu terjatuh dan jenteranya tertinggal di tengah-tengah litar.

Malang buat Hafizh , yang sedang memecut selepas memintas beberapa pelumba lain, apabila gagal mengelak jentera di tengah-tengah litar berkenaan.


Juara dunia lima kali, Doohan, berpendapat Hafizh mempunyai kekuatan mental tinggi untuk kembali berlumba semula hujung minggu ini di litar sama, Red Bull Ring, Austria.

"Saya berasakan Hafizh seorang pelumba yang memiliki kekuatan mental yang tinggi. Dia memahami situasi itu tidak berpunca daripadanya," kata Doohan.

"Sudah pasti ia merupakan satu kemalangan yang ngeri, terdapat kecederaan yang dialami ketika ini dan dia akan kembali menunggang jentera dalam sesi latihan sebelum membuat keputusan akan terus beraksi atau sebaliknya."