Pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing, Tengku Amirul Haffirudin, mengesahkan gelaran selaku juara keseluruhan kategori CP115 dengan bergaya setelah menjuarai perlumbaan akhir pusingan kelapan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di litar Batu Kawan, Pulau Pinang, sebentar tadi.

Kemenangan itu juga merupakan kemenangan ketujuh daripada lapan perlumbaan buat pelumba itu mengumpul 188 mata keseluruhan, 72 mata mengatasi rakan sepasukan, Md Fareez Afeez yang mengumpul 116 mata dengan perlumbaan yang berbaki dua pusingan sahaja lagi.

Dalam aksi perlumbaan tersebut, Tengku Amirul yang bermula dari petak ketujuh menamatkan 15 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 13 minit 58.786 saat, mengatasi Md Fareez dengan kelebihan 0.326s manakala Md Haziq md Fairues daripada pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, ketiga dengan catatan masa 13:59.363s.

“Pada asalnya, saya hanya cuba untuk mengutip mata minimum kerana saya hanya memerlukan lapan mata untuk mengesahkan gelaran,” jelas Tengku Amirul.

“Namun, selepas insiden melibatkan pelumba kelompok hadapan, saya berjaya merapatkan kedudukan dengan pelumba di hadapan. Menyedari ada peluang untuk menamatkan saingan di atas podium, saya mencari ruang untuk memintas dan memenangi perlumbaan.”

Selain gelaran individu, pasukan Motul Zeneos Yamaha YY Pang turut mengesahkan gelaran sebagai juara keseluruhan berpasukan kategori CP115 selepas mengumpul 304 mata.

“Tahun ini sangat istimewa buat saya kerana saya akhirnya berjaya memegang gelaran CP115 selepas beberapa tahun mencuba. Selepas ini saya berhasrat untuk bersaing dalam kelas CP150 jika diberikan peluang oleh pasukan pada musim depan,” tambah Tengku Amirul.

Sementara itu, pendahulu CP150, Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing), terpaksa menunggu pusingan yang akan datang untuk mengesahkan gelaran keseluruhan apabila menamatkan saingan di tempat kedua di belakang pencabar utama, Kasma Daniel Kasmayuddin, yang menjuarai perlumbaan dengan masa keseluruhan 17:25.990s.

Afif yang turut menerima tentangan sengit daripada rakan sepasukan Kasma, Md Akid Aziz, menamatkan 20 pusingan perlumbaan dengan masa 17:27.456s manakala Akid ketiga dengan masa 17:27.990s.

Afif kini berkelebihan 44 mata ke atas Kasma dengan mengumpul 180 mata manakala Kasma di kedudukan kedua dengan 136 mata. Afif hanya perlu menamatkan saingan di kelompok 10 pelumba terbaik untuk mengesahkan gelaran pada pusingan kesembilan yang akan berlangsung di Jempol, Negeri Sembilan, pertengahan November depan.

Dalam saingan WIRA KBS, Md Syarifuddin Azman berjaya meraih kemenangan kelima berturut-turut pada musim ini sekaligus berjaya muncul sebagai pendahulu keseluruhan dengan mengumpul 133 mata.

Pelumba Idemitsu Kozi Yam Honda Racing itu berjaya menamatkan 12 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 11:14.467s menewaskan pencabar utama, Md Danial Syahmi (SIC Junior Team AFB TECH Racing), yang memberikan saingan sengit sepanjang perlumbaan sebelum akur di kedudukan kedua dengan masa 11:17.241s. Md Faiz Zekri Sabri (ONEXOX Racing Team) muncul pemenang tempat ketiga dengan masa 11:29.365s.

Md Danial yang tidak beraksi pada pusingan lepas turun ke tangga kedua dengan turut mengumpul 133 mata namun dibezakan dengan jumlah kemenangan milik Md Syarifuddin. Tempat ketiga ketika ini disandang oleh Md Alif Ashraf Tahiruddin daripada pasukan PETRONAS Sprinta YAMAHA, yang gagal menamatkan perlumbaan dengan mengumpul 112 mata.