Cub Prix: Perlumbaan Klinik KBS terakhir penutup kalendar 2018

Oleh Penulis Jemputan 23 Disember 2018 105
Cub Prix: Perlumbaan Klinik KBS terakhir penutup kalendar 2018
Saingan pusingan akhir Klinik Cub Prix KBS yang berakhir di Litar Lumba Tangkak hari ini menjadi perlumbaan perlumbaan penutup kepada siri sukan permotoran negara. 

Selepas menjelajah 22 venue seluruh negara, 48 remaja terpilih berpeluang menunjukkan kemahiran mereka dalam sesi pemilihan terakhir di Litar Lumba Tangkak. 

Remaja-remaja terpilih menerima tunjuk ajar dan didikan daripada dua mentor berpengalaman negara, Shahrol Yuzy Ahnad Zaini dan Azlan Shah Kamaruzaman. 

Kesemua peserta turut berpeluang menerima tunjuk ajar daripada pelumba handalan tanah air, iaitu dua pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayuddin dan Md Akid Aziz, bersama-sama Azroy Hakeem Anuar dan juara Underbone 150cc Asia, Mohd Helmi Azman, yang turut bersama-sama peserta sepanjang dua hari sesi pemilihan. 

Kesemua 48 peserta berusia sekitar 13 hingga 22 tahun bersaing bagi merebut enam slot automatik ke siri Kejuaraan Cub Prix Malaysia musim 2019 di mana kebanyakannya pertama kali turun ke litar dengan menggunakan sut perlumbaan dan perlumbaan sebenar menggunakan jentera underbone.

Dua perlumbaan akhir yang berlangsung pada penghujung dua hari sesi pemilihan menyaksikan kategori Honda dimenangi oleh pelumba berusia 17 tahun, Mohd Izzat Hakimi dari Perak, dengan masa keseluruhan 9 minit 14.343 saat, diikuti pelumba dari Johor, Muhammad Shaifullah, di kedudukan kedua dan Abang Muhd Zulfayribin Abang Sapawi berusia 19 tahun dari Sarawak di kedudukan ketiga. 

Perlumbaan kategori Yamaha dimenangi pelumba berusia 13 tahun dari Johor, Mohd Adam Haikal Jahar, dengan masa 8:45.892s. Khamirudin Abd Kadir dari Sarawak melintasi garisan penamat sebagai naib juara, diikuti Muhamad Luqman Mohd Sani ketiga. 

Senarai pelumba yang menerima biasiswa untuk saingan musim 2019 bagaimanapun akan diumumkan kemudian. 

Klinik Cub Prix KBS merupakan program pembangunan sukan permotoran negara yang dijalankan oleh pihak Kejuaraan Cub Prix bersama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Program ini turut mendapat sokongan pengeluar, Hong Leong Yamaha Motors dan Boon Siew Honda Sdn Bhd.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen