Mohd Akid Aziz semakin hampir untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan dalam kategori CP115 menjelang saingan Pusingan 9, Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017 yang akan berlangsung di Batu Kawan, Pulau Pinang, Sabtu dan Ahad ini.

Juara bertahan dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu kini selesa mendahului kedudukan dengan mengumpul 155 mata, 48 mata mengatasi rakan sepasukan, Mohd Haziq Mohd Fairues, di kedudukan kedua dengan 107 mata.

Akid hanya perlu menamatkan perlumbaan di tempat ke-14 untuk memungut dua mata dan mengesahkan gelaran juara keseluruhan CP115 buat tahun kedua berturut-turut.

Haziq pula perlu menjuarai perlumbaan memandangkan Ahmad Syukran Aizat (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ) yang berada di tangga ketiga tidak berupaya untuk memberikan
cabaran lagi apabila ketinggalan 57 mata di belakang Akid dengan hanya berbaki dua pusingan lagi.

"Saya tidak mahu memandang mudah perlumbaan minggu ini. Walaupun kedudukan itu agak selesa, saya tetap akan memberi yang terbaik dan mahu menamatkan perlumbaan di atas podium," jelas Akid.

Sementara itu gandingan Mohd Akid dan Mohd Haziq terlebih dahulu berjaya mempertahankan gelaran pasukan terbaik buat PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor sebaik perlumbaan Pusingan 8 di Jempol, Negeri Sembilan berakhir. Pasukan ini turut telah mengesahkan status pasukan terbaik dalam kategori CP150 di Jempol.