MotoGP menyasarkan untuk memulakan musim pada penghujung Julai depan selepas perlumbaan di Jerman, Belanda dan Finland dibatalkan gara-gara pandemik Covid-19.

Semalam, MotoGP mengumumkan bahawa Grand Prix Jerman di Lutar Sachsenring pada 21 Jun depan dan perlumbaan di Litar Assen seminggu kemudian tidak dapat diteruskan.

GP Finland di venue baru, Litar Kymi Ring, pada 12 Julai depan turut terpaksa dikeluarkan daripada kalendar perlumbaan.

Pihak penganjur berharap mereka dapat menyelamatkan musim ini dengan GP Czech di Brno pada 9 Ogos depan masih belum dibatalkan.

Ketua Eksekutif badan penganjur dan promosi Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta, berkata: "Dengan dukacitanya, kami mengumumkan mengenai pembatalan tiga Grand Prix penting ini daripada kalendar MotoGP.

"GP Jerman merupakan perlumbaan di litar yang sangat unik dengan sejarah yang amat hebat.

"Dan Litar Kymi Ring merupakan venue baru yang menarik, yang membawa Grand Prix motosikal kembali ke Finland buat kali pertama sejak 1982.

"Dan Litar Assen yang ikonik memiliki reputasi sebagai satu-satunya venue yang tidak pernah terlepas daripada penganjuran Grand Prix motosikal sejak kejohanan ini bermula pada 1949.

"Bagi pihak Dorna, saya ingin berterima kasih kepada setiap peminat kerana sikap memahami dan bersabar ketika kita sedang menantikan situasi ini bertambah baik.

"Kami bersedia untuk kembali ke Litar Sachsenring dan Litar TT Assen pada 2021 dan tidak sabar untuk menyaksikan penampilan pertama Litar Kymi Ring musim depan," katanya.

Masih belum ada sebarang kepastian sama ada perlumbaan di Sepanyol, Perancis dan Itali, yang sudah ditangguhkan sebelum ini, dapat dijadualkan semula atau tidak.

Ezpeleta berkata Dorna Sport optimis saingan musim ini dapat dimulakan pada penghujung Julai atau awal Ogos depan dan ditamatkan pada November depan.