Bekas pelumba motosikal negara, Shahrol Yuzy, menganggap semua pasukan tempatan sudah bersedia untuk mengharungi jadual padat bermula pertengahan tahun ini sejurus pihak penganjur memutuskan saingan Cub Prix 2020 akan dimulakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pihak penganjur, Safe Aim Mutual telah pun mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa saingan permotoran tempatan itu akan bermula selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Mengikut jadual asal, saingan Cub Prix sepatutnya sudah memasuki pusingan kedua di Litar Batu Kawan, Pulau Pinang, namun tergendala kerana penularan wabak Covid-19.

Kalendar baru akan dikemaskini dengan keutamaan mengekalkan keseluruhan 10 pusingan.

Keputusan tersebut ternyata memberi kelegaan buat pasukan bertanding memandangkan kebanyakkan mereka mempunyai perjanjian bersama penaja masing-masing.

"10 pusingan harus dilengkapkan. Beberapa pasukan yang terikat dengan penaja yang mahu memastikan 10 pusingan dilengkapkan," kata Shahrol.

Tiada masalah buat setiap pasukan biarpun bakal mengharungi jadual padat bermula Jun, ditambah ada di antara mereka yang turut menyertai Kejuaraan Motorsikal Asia (ARRC).

"Walaupun jadual padat yang perlu dihadapi. Ia adalah sesuatu yang perkara positif dan cabaran buat setiap pasukan."