Ketua eksekutif Dorna Sports, Carmelo Ezoelera, yakin dapat mengadakan 10 pusingan perlumbaan MotoGP tahun ini sambil mendedahkan terdapat kemungkinan untuk mengadakan lebih daripada satu perlumbaan di venue sama.

Kelmarin, MotoGP mengumumkan bahawa perlumbaan di Jerman, Belanda dan Finland terpaksa dibatalkan gara-gara pandemik Covid-19.

Pihak penganjur pula berharap mereka dapat menjalankan musim ini dari Julai hingga November depan walaupun ia mungkin berlarutan sehingga ke Disember depan sekiranya perlumbaan di luar Eropah dibenarkan.

Ezpeleta berkata peminat berkemugkinan besar tidak akan dibenarkan untuk ke venue bagi menyaksikan perlumbaan.

Dia berkata: "Amat sukar untuk meletakkan penonton ketika perlumbaan tetapi kami memiliki siaran televisyen luar biasa yang akan membenarkan kebanyakan orang menonton perlumbaan itu."

Perlumbaan di Sepanyol, Perancis dan Itali turut ditunda dan masih terlalu awal untuk menentukan sama ada perlumbaan berkenaan akan dijadualkan semula atau tidak.

Ezpeleta menambah: "Idea kami ketika ini adalah memulakannya pada penguhujung Julai. Di mana dan bila masih akan ditentukan.

"Kami pasti program permulaan kami adalah untuk memulakannya di Eropah dan berlumba daripada penghujung Julai sehingga November dan kami akan melihat apa yang akan berlaku, dan jika perlumbaan di luar Eropah boleh dijalankan selepas November.

"Pada tahap terburuk, jika tidak dapat keluar dari Eropah, kami sekurang-kurangnya pelu memastikan kejohanan musim ini kekal dengan 10 atau 12 perlumbaan di antara Julai dan penghujung November," katanya.