Mattia Binotto yakin Sebastian Vettel ingin kekal dalam Formula Satu (F1) dan menjelaskan pelumba itu telah mencapai 'persefahaman' untuk meninggalkan Ferrari.

Scuderia minggu ini mengumumkan bahawa juara dunia empat kali, Vettel, akan meninggalkan pasukan Itali apabila kontraknya tamat pada akhir musim 2020.

Carlos Sainz akan mengambil tempat duduk Vettel tahun depan, tetapi ketua pasukan Ferrari, Binotto, berpendapat pelumba Jerman itu mempunyai keinginan untuk kekal bersaing dalam saingan tersebut pada 2021.

"Saya berasa dia sangat meminati sukan ini. Dia ingin kekal walaupun mempunyai beberapa perkara yang perlu difikirkan. Kami sedang melihat projek jangka masa panjang," katanya kepada Sky Italia.

"Saya berasa itu adalah perkara yang tepat untuknya dan bagi kami. Hanya Vettel tahu apa yang akan dilakukannya pada masa akan datang. Dia pemandu yang hebat dan dia akan membuat pilihan yang tepat.

"Dia menghabiskan enam tahun di Ferrari dan pasukan memiliki tempat yang istimewa di hatinya. Kami memiliki hubungan baik dengannya."

Binotto mengakui menandatangani pemandu McLaren, Sainz, merupakan satu 'perjudian', tetapi berpendapat pemain Sepanyol dan Charles Leclerc mampu menjadi gandingan yang hebat.

"Saingan sudah semakin berubaha dan kita harus melihat masa depan F1 dengan pandangan yang berbeza. Terdapat cabaran baru yang mesti kita semua lalui dan kita percaya bahawa kita telah memilih orang yang tepat untuk melengkapkan pasukan kita.

"Carlos Sainz adalah pemandu muda dan Ferrari tidak mempunyai pasangan muda seperti ini dalam 50 tahun. Ini adalah perjudian bagi kami dan kami gembira dapat menyahut cabaran ini. Kami ingin memulakan kitaran baru.

"Kami sudah menjangkakan kesukaran yang bakal dihadapi, tetapi tetap meletakkan kepercayaan kepada pelumba muda ini, Sainz adalah seorang yang sangat baik dan pintar."