Pelumba Sky Racing Team VR46, Francesco Bagnaia, muncul pemenang pertama bagi saingan MotoGP kategori Moto2 di Litar Buriram yang mula dipertandingkan dalam kalendar musim ini.

Bagnaia, yang bermula di petak keenam, bijak mengambil peluang memintas pelumba-pelumba lain di sebalik saingan hebat yang diberikan rakan sepasukan, Luca Marini, serta dua pelumba pasukan Red Bull KTM Ajo, Miguel Oliviera dan Brad Binder.

Dia mencatat masa 39 minit 0.009 saat untuk muncul juara, meninggalkan Marini yang meraih tempat kedua 1.512 saat di belakang.

Oliviera melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga di belakang Bagnaia dan Marini.

Kemenangan itu menyaksikannya kekal selaku pendahulu keseluruhan selepas mengumpul 234 mata, 19 mata di hadapan Olivera di tempat kedua.

Marini pula melonjak ke tangga ke-11 dengan 84 mata.