Pelumba negara, Md. Zaqhwan Zaidi, mempamerkan aksi bertenaga apabila muncul pelumba terpantas sesi latihan bebas SuperSports 600cc dalam saingan hari pertama, pusingan kelima, Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC), di Litar Antarabangsa Sentul, Indonesia, hari ini.

Pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing itu mencatat masa terpantas 1 minit 30.424 saat dalam sesi latihan bebas ketiga, mengatasi catatan pelumba tempatan, Andi Farid Izdihar dari pasukan Astra Honda Racing Team, yang mencatat masa terbaik 1:30.617s.

Ahmad Yudhistira (Manual Tech KYT Kawasaki Racing) muncul pelumba ketiga terpantas dengan masa 1:31.029s manakala seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman, mencatat 1:31.422s.

“Saya agak berpuas hati dengan aksi hari ini, namun masih terdapat beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki untuk sesi kelayakan esok,” jelas Zaqhwan.

“Dalam sesi latihan pertama dan kedua, saya masih mencari rentak dan pelarasan terbaik sebelum dapat menyesuaikan diri dengan litar, berbanding pelumba tuan rumah yang dilihat cepat menguasai jentera di litar ini,” tambahnya.

Sementara itu, dalam saingan Asia Production 250cc, Ahmad Afif Amran (CKJ Yamaha Racing) muncul pelumba terbaik negara dengan catatan masa 1:45.062s untuk berada di kedudukan ke-15.

Dalam kategori Underbone 150cc, dua pelumba negara mendahului sesi kelayakan, diketuai pendahulu keseluruhan, Md Helmi Azman (SCK Rapido Hi Rev Honda Racing), yang mencatat masa terpantas 1:48.692s, diikuti Md Amirul Ariff Musa (Yuzy Honda Vietnam Racing) di kedudukan kedua dengan masa 1:49.339s.