ARRC: Azlan Shah tidak tertekan hadapi pusingan akhir

Oleh Penulis Jemputan 28 November 2017 83
ARRC: Azlan Shah tidak tertekan hadapi pusingan akhir
Pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman, tidak mahu dibebani harapan untuk meraih gelaran juara keseluruhan SuperSports 600cc dalam pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, minggu ini.

Pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu, yang ketika ini menghuni tangga keempat keseluruhan, sebaliknya selesa bertindak sebagai pelumba bukan pilihan meskipun hanya 10 mata ketinggalan kepada pendahulu, Mohd Zaqhwan Zaidi.

“Saya tidak mahu meletakkan sebarang tekanan kepada diri sendiri. Saya hanya memikirkan bagaimana untuk tampil terbaik ketika di litar dan bagaimana untuk memenangi perlumbaan.

"Lima pelumba teratas masih berpeluang dan sedang bersaing sengit memburu kejuaraan.

“Tumpuan lebih diberikan kepada Zaqhwan kerana dia sedang mendahului kedudukan. Saya selesa tampil selaku pelumba ‘underdog’ dan menamatkan perlumbaan di atas podium,” kata juara tahun 2013 itu.

Pada masa sama, Azlan dan rakan sepasukan, Ahmad Yudhistira, turut mempunyai misi untuk membantu pasukan muncul juara keseluruhan setelah mendahului kedudukan ketika ini dengan 155 mata, sembilan mata mengatasi juara bertahan, Musashi Boon Siew Honda Racing, di kedudukan kedua.

“Kiraan mata diambil daripada pelumba terbaik pasukan. Yudhistira ketika ini juga sedang bersaing untuk gelaran keseluruhan.

"Ini akan memberi kelebihan buat pasukan kerana tidak kira saya ataupun Yudhis pasti akan memungut seberapa banyak mata dan optimis kami mampu untuk menamatkan dominasi pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing yang memegang gelaran pasukan terbaik selama lima tahun berturut-turut,” tambah Azlan yang pernah membantu pasukan berpangkalan di Malaysia itu memegang gelaran pasukan terbaik pada 2012 dan 2013.

Kali terakhir jentera Kawasaki memenangi gelaran ialah pada tahun 2011 melalui Katsuaki Fujiwara sebelum penguasaan oleh Musashi Boon Siew Honda Racing.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen