Fernando Alonso akan mewakili Arrow McLaren SP dalam perlumbaan Indianapolis 500 (Indy 500) dengan bekas juara dua kali Formula Satu (F1) itu mengimpikan kejuaraan ketiganya dalam arena sukan permotoran.

Alonso, yang menjuarai F1 bersama pasukan Renault pada 2005 dan 2006, melakukan penampilan pertamanya dalam Indy 500 pada 2017 sebelum kembali menyertai kejuaraan itu tahun lalu.

Dia menduduki tangga ke-24 dalam percubaan pertamanya bersama pasukan McLaren Honda Andretti sebelum gagal melayakkan diri ketika mewakili McLaren Racing musim lalu.

Bagaimanapun, dia kini menyertai pasukan baru McLaren dan mengimpikan untuk meraih kejuaraan hatrik dalam tiga perlumbaan paling terkenal itu selepas memenangi Perlumbaan 24 jam Le Mans dan Gran Prix Monaco dalam F1.

Dia akan mengendalikan kereta ketiga McLaren dalam perlumbaan itu -- yang akan bermula Mei depan -- sambil Patricio O'Ward dan Oliver Askew merupakan dua pelumba utama.



"Ia merupakan salah satu perlumbaan paling ikonik dalam kalendar sukan permotoran dan saya amat gembira untuk menyertainya sekali lagi Mei depan," katanya kepada Sky Sports dan NBC Sports dalam satu sesi temu bual.

"Tahun lalu, kami menghadapi beberapa isu dan ia bukanlah perlumbaan yang kami jangkakan.

"Tetapi tahun ini, kami kembali dengan sasaran untuk melakukan yang terbaik dan memenanginya.

"Apabila anda menyertai perlumbaan Indy 500, ia akan melekat di hati anda.

"Penyokongnya amat luar biasa, pertunjukannya amat luar biasa dan perlumbaan itu sendiri membuatkan anda sedar mengapa ia salah satu perlumbaan terhebat dalam kalendar," katanya.

McLaren mengesahkan pada Ogos tahun lalu bahawa mereka akan kembali menyertai perlumbaan IndyCar secara sepenuh masa, buat kali pertama sejak 1979.