Pelumba negara, Adam Norrodin, mengakui masih belum mempunyai pengalaman yang cukup dalam perlumbaan di litar basah bagi membolehkannya berada dalam kelompok utama kelas Moto3 dalam saingan MotoGP Dunia.

Biarpun keadaan cuaca tidak menentu dalam MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia, Ahad ini, namun pelumba berusia 21 tahun itu tetap bersedia mengharungi pusingan kelayakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) esok.

Pelumba pasukan Petronas Sprinta Racing, yang juga dikenali sebagai ‘Torete’ itu, berkata walaupun pernah beberapa kali beraksi di litar basah, namun pengalaman itu masih belum mencukupi buat dirinya.

“Minggu lepas di GP Australia hujan lebat, aksi saya ada peningkatan sedikit tetapi masih tidak mencukupi untuk berada di depan seperti dalam kelas Moto3.

“Jadi, saya masih tidak dapat jangka lagi di mana kedudukan saya untuk kelayakan esok kerana pada awalnya saya jangka keputusan dalam perlumbaan Latihan Bebas 2 (FP2) lebih baik berbanding FP1,” katanya selepas aksi sesi latihan bebas hari ini.

Dalam sesi FP1, Adam menduduki tempat ke-28 dengan masa 2 minit 09.107 saat sepusingan dan jatuh dua anak tangga dalam FP2 dengan masa 2:09.326s.

Pelumba yang mempunyai pengalaman tiga musim dalam saingan Moto3 itu berkata dia perlu mencari kesesuaian dengan jentera sebelum boleh meletakkan sasaran posisi untuk hari perlumbaan.

Adam mengakui perlumbaan Moto2 lebih agresif, terutama ketika mengambil selekoh dan adakalanya sukar untuk mengawal jentera.

“Tadi, pasukan ada buat sedikit perubahan pada sistem elektronik jentera, namun saya sedikit sukar untuk kawal jentera. Harap esok untuk FP3 dan sesi kelayakan, pasukan boleh lakukan sesuatu,” katanya.

Adam yang akan kembali bersaing dalam Kejuaraan Remaja di Sepanyol (CEV) pada musim depan, menggantikan slot Khairul Idham Pawi dalam perlumbaan kelas Moto2 bermula di GP San Marino.

Khairul Idham terpaksa berehat panjang selepas menjalani pembedahan tangan kanannya di Sepanyol, Ogos lalu, susulan kecederaan yang dialaminya dalam GP Sepanyol, Mei lalu.

-- BERNAMA