Ziyad, Latif bakal jalani program setaraf atlet normal

Oleh Staff Writer 26 Disember 2016 5
Ziyad, Latif bakal jalani program setaraf atlet normal

Atlet olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly, bakal menjalani program latihan setaraf dengan atlet normal bermula tahun hadapan dalam misi melayakkan diri ke Sukan SEA 2017.

Meskipun masih belum memastikan kelayakan ke temasya Kuala Lumpur 2017, Pengarah Cawangan Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN), Safrushahar Yusof, mengesahkan program latihan mereka akan berubah setaraf atlet normal di bawah kendalian jurulatih yang sama.

Sementara itu, Ziyad perlu melakukan lontaran melebihi 17 meter untuknya layak secara merit apabila mencipta rekod dunia para 16.84 meter di Rio.

"Kita cuba mempersiapkan mereka untuk bertanding dengan atlet-atlet normal di peringkat kebangsaan supaya mereka mendapat peluang pertandingan yang lebih tinggi di samping mendapat rakan saingan bagi meningkatkan prestasi," jelas Safrushahar. 

Safrushahar yang turut berangkat ke Tanah Suci Makkah bersama pemenang pingat Paralimpik Rio, berharap lebih ramai juara dapat dilahirkan pada tahun 2017 setanding dengan apa yang telah diraih tahun ini.

"Insya-Allah moga kami mendapat umrah diberkati dan seterusnya memberikan kejayaan yang lebih lagi buat atlet Paralimpik yang pastinya berdepan tugas yang lebih besar tahun hadapan," tambahnya.

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen