Biarpun sudah menempah satu slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee, bertekad memburu satu lagi tiket menerusi acara 3 meter papan anjal seirama bersama gandingannya, Nur Dhabitah Sabri, dalam Kejohanan Terjun Piala Dunia FINA 2020.

Penerjun berusia 27 tahun itu sudah pun meraih tiket ke Tokyo menerusi acara 3m papan anjal individu wanita selepas layak ke pusingan akhir Kejohanan Terjun Dunia, Gwangju, Korea Selatan, Julai tahun lalu.

Namun, Wendy masih belum berpuas hati dan berikrar memburu satu lagi tempat ke Jepun dengan menyasarkan kedudukan dalam acara 3m papan anjal seirama.

Sebagai persiapan menghadapi musim 2020, Wendy di samping empat lagi penerjun negara yang terdiri daripada Leong Mun Yee, Pandalela Rinong, Kimberly Bong dan Ooi Tze Liang bakal 'berkampung' di China selama sebulan di bawah kendalian jurulatih, Li Rui, selain akan menyertai Kejohanan Terjun Grand Prix (GP) Jerman bulan depan.

"Ketika ini, kami fokus kepada acara seirama dengan sasaran dapat menempatkan diri dalam kalangan lima terbaik untuk layak ke Sukan Olimpik.

"Seperti biasa, saya akan bergandingan dengan Nur Dhabitah sambil akan beraksi dalam acara individu," katanya.

Dalam pada itu, Wendy mengakui masih perlu mempertingkatkan prestasi dalam kedua-dua acara kerana tidak puas hati dengan aksinya dalam Sukan SEA Filipina bulan lalu.

"Kami akan menjalani latihan singkat di China untuk menempuhi kejohanan dengan prestasi lebih baik, termasuk ketika di Tokyo kelak.

"Kami tidak boleh berputus asa tanpa mengira apa yang akan terjadi selain sering percaya kepada diri sendiri," tambahnya.



Editor: Shaiful Shamsudin