Selepas tamat saingan Sukan SEA Filipina, skuad ping pong negara bagaikan tidak mengerti istilah rehat apabila mempunyai misi baru untuk mencari slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Skuad ping pong negara merangkul dua gangsa dalam Sukan SEA Ke-30, sekali gus melepasi sasaran satu pingat yang ditetapkan Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM).

Ia merupakan kejayaan pertama buat dua beregu lelaki yang melangkah hingga ke peringkat separuh akhir temasya itu.

Kini skuad ping pong negara memilih untuk berlatih di China sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Kelayakan Berpasukan Sukan Olimpik Tokyo 2020 bulan depan.

"Kami menjalani latihan di China bagi menghadapi saingan kelayakan Tokyo 2020 acara berpasukan di Portugal nanti. Saya berharap tidak mengira skuad lelaki atau wanita akan melakukan kejutan dan layak ke Sukan Olimpik," kata pemain negara, Muhammad Ashraf Haikal Muhamad Rizal.

Ashraf optimis skuad ping pong negara mampu membuat kejutan dalam Kejohanan Kelayakan di Gondomar, Portugal itu.

"Saya berharap kami akan layak dalam acara berpasukan kerana ia membenarkan atlet negara turut beraksi dalam acara perseorangan dalam Sukan Olimpik nanti."