Pandelela beri laluan buat Jun Hoong, Dhabitah

Oleh Ammar Hakim 11 Mac 2020 1996
Pandelela beri laluan buat Jun Hoong, Dhabitah
Pandelela Rinong melakukan pengorbanan dan membuka laluan untuk bekas juara dunia, Cheong Jun Hoong, serta ikon muda negara, Nur Dhabitah Sabri, untuk merebut satu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara 10 meter platform individu.

Wabak covid-19 menggagalkan usaha Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) untuk menganjurkan pemilihan kompetetif yang bakal menyaksikan Pandelela, Jun Hoong dan Dhabitah merebut penampilan di Piala Dunia April ini.

Pandelela yang sudahpun layak ke Tokyo 2020 dalam acara 10m platform individu pada asalnya berupaya menjadikan saingan Piala Dunia di Jepun sebagai medan pemanas badan.

Bagaimanapun, demi kepentingan skuad negara, Pandelela merelakan Jun Hoong dan Dhabitah untuk berentap bagi tiket ke Sukan Olimpik dalam acara 10m platform individu itu.

"Pada mulanya, kami mahukan saingan pemilihan yang sama rata namun segalanya terhenti ekoran covid-19. Kami telah berbincang dengan Pandelela dan berterima kasih kepadanya untuk memberikan peluang kepada rakan senegara untuk berusaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik," kata Setiausaha Agung ASUM, Mae Chen.

Dhabitah dalam pada itu tidak gentar untuk berentap dengan Jun Hoong yang berstatus bekas juara dunia.

Perkembangan tersebut bakal menyaksikan Dhabitah memburu dua tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam saingan Piala Dunia itu nanti.
 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen