MSN kenal pasti tiga sukan buru pingat di Tokyo

Oleh Penulis Jemputan 30 Oktober 2018 169
MSN kenal pasti tiga sukan buru pingat di Tokyo

Majlis Sukan Negara (MSN) sudah mengenal pasti tiga sukan tumpuan bagi Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain menegaskan kepentingan bekerjasama di bawah satu bumbung bersama Institut Sukan Negara (ISN).

Tiga sukan itu adalah badminton, terjun dan berbasikal yang menjadi tumpuan utama dalam memburu pingat dalam temasya Tokyo 2020.

Lima sukan turut dikenal pasti sebagai sukan tumpuan bagi Sukan Paralimpik 2020.

"Sukan-sukan lain akan dimasukkan dalam program tahun 2022, sama ada Sukan Komanwel  atau Sukan Asia.

"Strategi kami adalah untuk melangkaui tahun 2020 supaya kesinambungan pembentukan atlet akan berterusan.

"Ia mungkin akan melibatkan peruntukan yang besar, jadi ia tertaluk kepada keputusan daripada kerajaan pusat.

"Kami cuba untuk memberikan pembangunan menyeluruh, namun ia tetap tertakluk kepada indeks petunjuk prestasi (KPI) ," kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Program Podium sebelum ini di bawah ISN dengan penekanan serta sokongan sains sukan -- elemen yang kekal menjadi teras meskipun pengurusan kini di bawah MSN.

"Ini adalah dua hala yang akan kami selaraskan bersama ISN.

"Kami akan bekerjasama memberikan tumpuan kepada kelompok-kelompok atlet dalam kesinambungan proses-proses latihan mereka," tambah Shapawi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen