Martin: Perenang negara berkemampuan rebut tiket ke Jepun 

Oleh Staff Writer 17 Januari 2020 56
Martin: Perenang negara berkemampuan rebut tiket ke Jepun 
Jurulatih skuad renang negara, Chris Martin, optimis semua perenang negara berpeluang dalam kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2002 tetapi tidak menafikan saingan sengit yang bakal mereka hadapi.

Sukan SEA Filipina bulan lalu menyaksikan sasaran skuad renang negara meleset apabila hanya meraih dua pingat emas, dua perak dan tiga gangsa.

Dua emas Malaysia disumbangkan perenang negara, Phee Jinq En, dalam acara 50 meter dan 100m kuak dada.

Walaupun gagal mencapai sasaran yang ditetapkan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), jurulatih dari Amerika Syarikat (AS) itu tetap optimis bahawa perenang negara berpeluang untuk layak. 

"Ia sukar diramal tetapi kami akan membantu perenang negara untuk meraih sasaran dan selepas ini akan membandingkan catatan mereka dengan perenang dunia yang lain," katanya di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil semalam. 

Bagaimanapun, jurulatih berkenaan tidak menafikan cabaran yang menanti skuad negara dalam kelayakan ke temasya tersebut amat sengit.

"Peringkat utama kelayakan adalah April depan dan kebanyakan negara, terutama di Eropah, Australia dan AS, akan menunggu sehingga saat-saat akhir Jun depan sebelum perenang yang layak akan ditentukan."
 


Editor: Shaiful Shamsudin

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen