Kelayakan Sukan Olimpik: Skuad hoki negara jalani persiapan akhir di Korea 

Oleh Staff Writer 20 September 2019
Kelayakan Sukan Olimpik: Skuad hoki negara jalani persiapan akhir di Korea 
Tumpuan pengendali skuad hoki negara, Roelant Oltmans, dalam siri perlawanan ujian di Korea Selatan lebih terarah untuk memperbaiki struktur pasukan secara menyeluruh menjelang kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, November depan.

Skuad hoki negara bakal menjalani empat perlawanan ujian berdepan pasukan Korea Selatan yang akan dijadikan medan pemilihan 18 pemain terbaik untuk dipertaruhkan menentang Great Britain di London kelak. 

Dengan menurunkan skuad utama kali ini, jurulatih dari Belanda itu percaya perlawanan ujian yang akan bermula Isnin ini bakal meraih keputusan lebih positif berbanding aksi di Jepun, bulan lalu.

"Situasi kini berbeza dan kami kini dalam prestasi yang lebih baik berbanding di Jepun, jadi kami mahu membuktikan sesuatu. 

"Kami mahu beraksi dengan baik, menunjukkan peningkatan dalam struktur permainan dan perlu membuktikannya. 

"Semua orang tahu apa yang penting, ia harus dilakukan secara berperingkat," katanya sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam. 

Sementara itu, ketua pasukan negara, Sukri Mutalib, berazam menjadikan kempen kali ini sebagai pelantar untuk meningkatkan persefahaman dan keseimbangan dalam skuad selain berharap tiada sebarang kecederaan akan berlaku kepada pemain.

Bagaimanapun, Sukri belum memutuskan untuk mengakhiri kariernya, namun bakal membuat keputusan itu sejurus selesai kelayakan Sukan Olimpik.

"Aksi di Korea Selatan sama sekali berbeza dengan di Jepun. 

"Di Korea Selatan, seramai 21 pemain yang dipilih jurulatih merupakan barisan terbaik. 

"Ini adalah persiapan akhir kami sebelum ke London. Besar harapan saya untuk melihat pasukan ini semakin berkembang, mendapatkan keseimbangan dan segera bersatu padu kerana masa semakin suntuk," katanya. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen