Kelayakan Olimpik: Razie, Faizal dalam tahap terbaik -- Oltmans

Oleh Penulis Jemputan 1 November 2019 526
Kelayakan Olimpik: Razie, Faizal dalam tahap terbaik -- Oltmans
Pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim dan Faizal Saari, berada di tahap terbaik sambil ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, meminta pemain agar menghormati Great Britain sekalipun pasukan tuan rumah itu hilang khidmat tiga tonggak utama.

Gerakan pukulan sudut penalti Great Britain paling terkesan selepas hilang khidmat Ashley Jackson dan Mark Gleghorne ekoran kecederaan.

Pasukan di ranking ketujuh dunia itu turut hilang sentuhan penyerang berbisa, Chris Griffith, sekali gus meletakkan tuan rumah itu dalam keadaan tempang.

Malaysia, yang berada di ranking ke-11 dunia, perlu merebut peluang itu kerana aksi tersebut menawarkan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo.

"Kami perlu memastikan jentera pertahanan berada di posisi yang sepatutnya dan melakukan tugas mereka dengan sebaik mungkin dan perkara ini telah dibincangkan bersama pasukan," kata Oltmans.

Sesi latihan The Malaysian Hockey Tigers di London berjalan lancar dengan pemain dilihat tidak tertekan.

Ia perkembangan positif dalam misi menamatkan penantian sejak kali terakhir layak ke Sukan Olimpik Sydney 2000.

"Kami telah membuat perancangan yang rapi daripada segi taktikal pukulan sudut penalti dan diharap ia dapat digunakan dalam perlawanan berdepan Great Britain," tambahnya.

Sementara itu, Razie dan Faizal menggalas tugas penting sebagai mesin penjaring gol Malaysia.

Faizal, terutamanya, meledak tiga daripada empat gol ketika Malaysia berdepan Great Britain dalam aksi separuh akhir Liga Dunia 2017 yang menyaksikan Malaysia layak ke Piala Dunia 2018.

Pukulan sudut penalti Malaysia kini lebih klinikal selepas mendapat sentuhan legenda Belanda, Taeke Takema.

"Kami akan menggunakan peluang dengan sebaik mungkin, saya dan Faizal akan berusaha untuk mencari gol ketika berdepan Great Britain," kata Razie.

"Apabila diketahui dua utama lawan tidak dapat diturunkan, saya berasakan ia adalah kelegaan dan harus menggunakan peluang ini dengan sebaik mungkin untuk memastikan kemenangan," jelas Faizal pula.

Malaysia juga memiliki variasi pukulan sudut penalti yang mampu memerangkap Great Britain, dengan gerakan tersebut harus digunakan sebaik mungkin untuk memenangi playoff pertama, awal pagi Ahad ini.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen