Menuju ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, Institut Sukan Negara (ISN) menawarkan keistimewaan kepada atlet negara yang bakal beraksi di Jepun kelak menerusi kerjasama ISN bersama beberapa institut sukan luar negara.

ISN merancang untuk mengadakan lebih banyak kerjasama dengan beberapa institut sukan luar negara, terutama di benua Asia dan Eropah, yang membabitkan pertukaran kepakaran dalam bidang sains sukan tahun depan.

Fasa pertama kerjasama itu akan tertumpu kepada atlet negara yang bakal menghadapi temasya Tokyo 2020 yang hanya berbaki lebih kurang tujuh bulan lagi.

Setakat ini, hanya jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, yang diberi keistimewaan itu dan langkah itu telah membuahkan hasil apabila merangkul pingat emas acara keirin dalam siri keempat Kejohanan Berbasikal Trek Piala Dunia UCI.

"ISN sedang berkolaborasi dengan sebuah syarikat perunding dari United Kingdom berkenaan projek basikal Azizulhasni untuk Sukan Olimpik.

"Ia baru sedikit berbanding apa yang akan ditonjolkan dalam Sukan Olimpik kelak," kata Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli, di Bukit Jalil hari ini.

Setakat ini, Amerika Syarikat (AS) dijadikan sebagai penanda aras memandangkan negara berkenaan mempunyai teknologi, perubatan sains sukan selain pengkomersilan produk sukan yang terbaik di dunia.

"Pastinya barisan saintis dan kakitangan ISN akan memberi tumpuan penuh kepada projek Sukan Olimpik yang dianggarkan seramai 20 atlet.

"Jadi, kepakaran kami tertumpu kepada projek ini terlebih dahulu."