Legenda sukan berbasikal negara, Datuk Ng Joo Ngan, memuji keberanian Azizulhasni Awang, yang mengumumkan sasaran pingat emas dalam Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan.

Pengumuman itu dilakukannya ketika majoriti atlet dan pegawai sukan kebangsaan lebih selesa untuk mengambil langkah selamat.

Keyakinan itu pasti akan menjadi pembakar semangat buat kontinjen negara dalam temasya berkenaan.

Pelumba dengan gelaran The Pocket Rocketman itu bertanggungjawab untuk mnenggalas tugas berkenaan selepas persaraan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

"Saya fikir ia sikap yang amat bagus kerana dia cukup berani untuk berkata yang dia mahukan pingat emas itu," katanya kepada Nadi Arena.

"Atlet lain mungkin tidak cukup berani, jadi apabila dia berkata demikian, ia bermakna dia memiliki keyakinan menjelang enam bulan ini.

"Tidak perlu risau mengenainya kerana dia akan berusaha untuk mendapatkannya."