Bekas ketua jurulatih skuad terjun negara, Yang Zhuliang, tidak terkejut dengan tindakan penggantinya, Zhang Yukun, meninggalkan kem Malaysia, malah masih berkecil hati terhadap tuduhan beliau menolak aspek sains sukan.

Zhuliang belum mengikat kontrak dengan mana-mana negara atau kelab sejak ditamatkan kontrak Disember tahun lalu.

Beliau lebih banyak menghabiskan masa bersama keluarga di Australia, namun masih mengikuti perkembangan skuad terjun negara.

Pengendali kelahiran China itu seolah-olah tahu bahawa Yukun akan meninggalkan skuad negara tidak lama selepas ketiadaannya.

"Apa yang saya lihat, saya tahu Yukun akan tinggalkan Malaysia apabila pulang ke China. Mungkin ia disebabkan sistem kontrak yang menyaksikan setiap jurulatih bersetuju dengan tempoh dua tahun dalam setiap perjanjian.

"Apabila dia ke China, mungkin dia sudah menerima pekerjaan di sana," ujar Zhuliang.

Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) sedang mencari pengganti Yukun yang sudah meninggalkan Malaysia.

Calon pengganti dilaporkan bergantung kepada cadangan Yukun, sekali gus memberi petanda bahawa pengganti itu memiliki reputasi lebih rendah.

Sementara itu, bekas penerjun negara, Yeoh Ken Nee, berharap ASUM dan Majlis Sukan Negara (MSN) merebut peluang mendapatkan semula khidmat Zhuliang.

Ia kerana Zhuliang terbukti berjaya menaikkan taraf Malaysia, terutama penerjun wanita seperti Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee yang menjadi pencabar pingat Sukan Olimpik.

"Jika mereka betul-betul mahukannya, mereka perlu memikirkan tentang masa depan berbanding isu peribadi yang wujud. Daripada segi aspek sukan, sudah tentu bagus buat Zhuliang untuk kembali tetapi kalau dilihat mengenai isu peribadi, ia pasti sukar.

"Jika MSN dan badan persatuan mahukannya, ia boleh diselesaikan," kata Ken Nee.

Skuad terjun kebangsaan kini dibimbing jurulatih pelapis, Christian Brooker dan Li Teng yang sedang bercuti sempena perayaan Krismas.