Ketua jurulatih skuad terjun negara, Yang Zhuliang, berada dalam keadaan tertekan ekoran isu kontraknya yang bakal tamat 31 Disember ini menjadi topik panas, justeru dia mahu ia diselesaikan secepat mungkin.

Zhuliang kini enggan berjumpa dengan pihak media untuk memberikan kenyataan kerana tidak menyangka isu ini merebak hingga melibatkan banyak pihak.

Jelasnya juga, dia masih menanti pengakhiran isu ini dan enggan memanjangkannya kerana bakal memberi imej buruk bukan sahaja kepada kariernya, bahkan keseluruhan pasukan terjun kebangsaan.

"Saya sudah tidak mahu memberikan apa-apa kenyataan kerana perkara ini membuatkan saya pening kepala. Saya harap semua faham keadaan saya untuk tidak bercakap hal ini lagi," katanya yang mula melatih atlet negara sejak 2001 lagi.

Dalam masa sama, jurulatih dari China itu menegaskan hubungannya dengan kesemua atlet terjun kebangsaan masih kekal baik walaupun dia kini tidak sering ke Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil untuk mengendalikan sesi latihan.

"Hubungan kami dari dahulu hingga sekarang memang baik, tiada masalah.

"Cuma saya kini tak mahu fokus mereka lari, sebab itu saya jarang hadir ke sesi latihan. Saya harap sangat perkara ini akan cepat diselesaikan," katanya lagi.