Ketua jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang, belum membuat keputusan untuk menyambung kontraknya walaupun senarai baru Program Podium akan diumumkan minggu depan.

Status Zhuliang adalah antara tarikan utama senarai baru untuk Program Podium yang akan diumumkan 10 November ini.

Pengendali kelahiran China itu berjaya mengawal situasi kem negara selepas dipalit isu doping dan rogol apabila meraih dua pingat emas dalam Grand Prix (GP) Terjun Kuala Lumpur di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, Ahad lalu.

Kontrak Zhuliang akan tamat pada hujung tahun ini, namun dia belum pasti untuk meneruskan tugas di Malaysia.

"Saya tidak boleh katakan apa yang akan berlaku esok. Kami perlu melihat kontrak baru, pada masa ini terlalu awal untuk mengulas mengenainya," katanya.

Zhuliang mula membimbing skuad negara pada 2001 sebelum berhijrah ke Australia, empat tahun kemudian.

Dia kemudian kembali ke Malaysia pada 2009 dan kekal hingga kini.

Malaysia akan menyertai Kejohanan Terjun GP Gold Coast bermula 9 November ini dengan membawa skuad terbaik kecuali dua penerjun.