Pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Muhamad Zawawi Azman, bertekad mahu meningkatkan rentak kayuhan dalam membantu pasukannya mencapai sasaran lebih tinggi bagi musim 2019.

Selepas dua musim bersama TSC, Zawawi semakin konsisten dengan pasukan berstatus benua itu.

Tahun 2018 menyaksikan dia dapat memenangi salah satu peringkat ketika Tour De Lombok di samping menduduki tempat kedua keseluruhan saingan berkenaan.

Cabaran lebih besar menanti Zawawi tahun depan kerana TSC turut menyasarkan untuk membantu pelumba tempatan meraih slot kelayakan ke saingan Olimpik Tokyo 2020.

"Memang sukar buat Sapura kerana pelumba luar semuanya agak hebat. Pelumba tempatan perlu berlatih lebih keras. Kami akan cuba untuk mendapatkan mata bagi melayakkan diri ke Tokyo," katanya.

TSC ketika ini sedang membuat proses pemilihan untuk mencari dua atau tiga pelumba tempatan bagi memperkuatkan cabaran pasukan itu tahun depan.

Antara yang tersenarai termasuk pemenang pingat emas acara lebuhraya saingan Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018, Saari Amri Abd Rasim.

Sementara itu, seorang lagi pelumba TSC, Izzat Hilmi Abd Halil, percaya dengan kemampuan serta potensi yang dimiliki pelumba yang sedang dinilai bagi membentuk kombinasi lebih baik.

"Untuk pelumba baru yang sedang menjalani pemilihan, saya lihat mereka memang bersemangat dan penuh disiplin. Cuma, ia akan memilih tiga atau empat pelumba sahaja," kata Izzat.