Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengambil keputusan menggantung pelumba pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Zamri Salleh, selama tiga bulan ekoran kecaman pelumba itu terhadap PKBM menerusi media sosial berhubung isu ganjaran wang kemenangan Jelajah Malaysia 2013.

Pelumba berusia 32 tahun itu terpaksa menghadap Jawatankuasa Disiplin PKBM pada 11 Oktober lalu, selepas dia meluahkan rasa tidak puas hati kerana mendakwa tidak mendapat wang kemenangan yang dijanjikan untuk Jelajah Malaysia 2013.

Bagaimanapun, Setiausaha PKBM, Ibrahim Mustapha, menjelaskan RMM33,000 sudah dijelaskan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, Julai lalu kepada pihak TSG.

"Kami telah maklumkan kepada pihak pengurusan TSG ketika perjumpaan, kami akan membuat bayaran sebelum hari raya.

"Kami juga meminta semua pelumba yang terlibat tidak mengeluarkan kenyataan yang agak kasar kepada PKBM tetapi masih juga terdapat kenyataan yang dikeluarkan.

"Bagaimanapun, PKBM telah membuat bayaran sebelum hari raya," kata Ibrahim.

Zamri mempunyai tempoh 14 hari bermula Sabtu lalu untuk membuat rayuan bagi meringankan hukumannya.

Penggantungan Zamri juga bermakna TSG berkemungkinan menghadapi masalah untuk mendaftarkannya menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa sehinggalah musim 2017.

"Setakat ini, hanya dua orang yang kami panggil dan dibuat tuduhan. Tidak mengapa tindakan tatatertib tidak diambil dan mereka telah dibicarakan oleh panel jawatankuasa disiplin dan keputusannya setakat ini yang telah keluar adalah mengenai Zamri."