Ketua jurulatih skuad olahraga negara, Zainal Abas, akur dengan ujian sukar menimpa skuad pecut negara.

Ketika ini, jurulatih skuad pecut negara, Md Poad Md Kassim, berada dalam keadaan koma susulan jangkitan kuman di paru-paru dan keadaan ini telah merencatkan atlet-atlet untuk membuat persiapan.

Poad, yang dilaporkan mengalami kesesakan nafas, Sabtu lalu, sedang dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Pembantu jurulatih Poad telah diarahkan untuk mengambil alih tugas buat sementara waktu bagi meneruskan program yang telah dirancang untuk atlet-atlet.

"Setakat ini, kami tahu Poad berada dalam keadaan stabil. Atlet-atlet yang di bawah kendalian Poad telah diawasi oleh pembantu Poad dan latihan masih lagi diteruskan," kata Zainal.