Atlet triatlon veteran Sabah, Yatim Zainal Abidin, mengakui kecewa berikutan pembatalan Kejohanan Triatlon Antarabangsa di Slovakia pada 16 Ogos depan.

Yatim, 44, berkata dia telah melakukan persiapan rapi, khususnya daripada segi latihan, walaupun dalam waktu perintah kawalan pegerakan (PKP).

"Jadual asal kejohanan itu ialah pada 31 Mei ini dan kemudiannya ditunda ke 16 Ogos ini, namun ia kini dibatalkan pula.

"Saya telah berlatih sehabis baik termasuk latihan di luar selepas PKP dilonggarkan tapi apakan daya, mungkin belum rezeki saya untuk bersaing dalam kejohanan itu," katanya.

Yatim berkata dia menerima surat daripada penganjur berhubung pembatalan itu semalam.

Surat yang diterimanya itu juga memaklumkan kejohanan sama untuk tahun depan telah dijadualkan pada 22 hingga 23 Mei.

"Bagaimanapun, kekecewaan saya sedikit terubat apabila masih boleh menyertai kejohanan itu secara automatik tahun depan tanpa perlu melalui peringkat kelayakan," katanya lagi.

Yatim layak ke kejohanan berkenaan selepas menamatkan saingan di tempat keempat kategori 40-44 tahun dalam Cabaran Triatlon Iskandar Puteri di Johor pada November tahun lalu.