Yan Yee berpeluang jalani hukuman minimum 

Oleh Penulis Jemputan 29 Disember 2017 586
 Yan Yee berpeluang jalani hukuman minimum 
Penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee, berpeluang dikenakan penggantungan minimum kes doping apabila memberi kerjasama penuh ketika Jawatankuasa Perubatan dan Anti-Doping Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) mengesan punca bahan jenis sibutramine yang terkandung dalam sampel yang diberikan. 

Ia bukti penting yang sudah diserahkan kepada Persekutuan Renang Antarabangsan (FINA) yang akan menentukan bentuk hukuman ke atas Yan Yee. 

Kes itu dilihat hampir sama seperti atlet wusyu negara, Tai Cheau Xuen, yang turut positif sibutramine dalam Sukan Asia 2014 sebelum digantung empat bulan. 

"Bukan mudah untuk mendapat amaran keras seperti yang kita fikirkan. 

"Atlet perlu membuat justifikasi bahawa semua langkah sudah dibuat untuk mengelakkan kejadian itu daripada berlaku.

"Kalau ahli panel berpuas hati, barulah mereka akan memberi amaran keras. 

"Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) adalah satu badan yang tegas, tidak kira apa alasan anda, ia tetap tanggunjawab atlet," kata Timbalan Pengarah Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS), Nishel Kumar. 

Sepanjang tahun ini, Malaysia mencatat lima kes doping -- jumlah paling rendah selepas lapan tahun walaupun membabitkan nama besar sukan negara. 

Selain Yan Yee, turut positif ialah penjaga gol hoki negara, S. Kumar, Hafifi Mansor (angkat berat), Rafi Manaf (muay thai) dan seorang pelumba basikal lebuh raya Angkatan Tentera Malaysia. 

"Walaupun hanya melibatkan lima kes, ia melibatkan ramai atlet kebangsaan.

"Itulah sebabnya impak yang timbul lebih besar," katanya lagi. 

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen