YAKEB: Bekas atlet boleh rujuk hospital kerajaan 

Oleh Penulis Jemputan 17 November 2019 283
YAKEB: Bekas atlet boleh rujuk hospital kerajaan 
Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, mempertahankan keputusan memansuhkan rawatan di hospital swasta berikutan beberapa aduan daripada bekas atlet negara.

YAKEB bertindak menghentikan bantuan di hospital swasta setelah menerima surat daripada pihak kerajaan.

Bagaimanapun, Noorul Ariffin menerangkan bahawa rawatan buat bekas atlet negara di hospital kerajaan akan diutamakan.

"Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah memberi arahan kepada YAKEB supaya bantuan kesihatan di hospital swasta diberhentikan. 

"(Bagaimanapun), mereka boleh pergi ke hospital kerajaan untuk mendapatkan rawatan kelas kedua. 

"Semuanya akan ditanggung oleh kerajaan termasuk penyakit kritikal seperti barah, darah tinggi ataupun kencing manis," katanya. 

Tambahnya, persepsi terhadap hospital kerajaan harus diubah memandangkan hospital kerajaan kini mempunyai antara doktor dan peralatan yang terbaik.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahmanm, menjelaskan bahawa kerajaan akan sentiasa menjaga kebajikan bekas atlet negara.

"Kerajaan telah membuat keputusan untuk memberikan subsidi 100 peratus dengan anggaran RM3 hingga RM10 juta.

"Saya harap ia dapat dimanfaatkan sebaik mungkin Apa yang boleh dibantu, wajiblah dibantu," kata Syed Saddiq ketika ditemui sempena Kejohanan Dunia Mobile Legend: Bang Bang (MLBB) Malaysia di Arena Axiata, Bukit Jalil, hari ini. 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen