Perenang negara, Welson Sim, dan pelumba basikal trek, Fatehah Mustapa, diumumkan sebagai penerima Anugerah Olimpian 2017.

Kedua-duanya dimasyhurkan ketika Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meraikan atlet-atlet terbaik negara dalam satu majlis anugerah dan makan malam tahunan yang berlangsung di Arena Tan Sri Hamzah, malam ini.

Welson dijulang hasil kejayaannya memenangi dua emas serta masing-masing satu perak dan gangsa dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Fatehah pula membolot empat emas dalam temasya yang sama di Velodrom Nasional, Nilai melalui acara keirin, pecut, pecut berpasukan serta ujian masa wanita.

Dalam majlis yang sama, pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei, dan pasangan penerjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong, dinobat sebagai penerima Anugerah Olimpian 2016 berdasarkan pencapaian dalam Sukan Olimpik Rio.

Seramai 10 penerima tersenarai dalam Dewan Kemasyhuran 2017. Mereka ialah dua bekas pegawai, Datuk P Krishnasamy dan Datuk Dr Harjit Singh (kriket) serta lapan bekas atlet -- Annie Choong (olahraga) Datuk Wira Gan Boon Leong (bina badan), S Rajalingam, Datuk Dr Amarjit Singh (kriket), Ng Joo Pong, Hector Conrad Talalla dan Omar Saad (berbasikal) dan mendiang MC Kailasapathy JP (kriket).

Dua belas tokoh untuk Dewan Kemasyhuran 2016 pula ialah Josephine Mary (olahraga), Wong Choon Hann (badminton), Nor Effandy Rosli (berbasikal), Nurul Huda Baharin (menembak), Kenny Ang serta Ben Heng (boling tenpin), Muhammad Hidayat Hamidon serta Toh Fook Hung, Thong Saw Pak, Tan Kim Bee, Chung Kum Weng dan K H Cheong (angkat berat).