Wee Wern semakin kental selepas tiga pembedahan 

Oleh Shaiful Shamsudin 7 Oktober 2020 38
Wee Wern semakin kental selepas tiga pembedahan 
Parut di lutut hasil tiga pembedahan menjadi peringatan betapa skuasy sesuatu yang berharga buat Low Wee Wern, seperti yang dikongsikan kepada wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu mempunyai aspirasi untuk menjadi pemain wanita nombor satu Malaysia yang berbeza berbanding Datuk Nicol David menjelang kempen mempertahankan gelaran Kejohanan Skuasy Kebangsaan Edisi Ke-36 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, minggu ini. 

"Saya menjalani pembedahan (lutut) pertama adalah pada 2015 dan tiga lubang di lutut ini hasil daripada ketiga-tiga pembedahan itu.

"Saya memerlukan sembilan bulan untuk kembali ke gelanggang selepas mendapatkan pelepasan. 

"Saya lulus pemeriksaan kesihatan walaupun berasa sudah tidak seperti sedia dahulu lagi. Sepanjang enam bulan selepas itu saya terus mengadakan rutin pemeriksaan otot lalu mendapati ligamen lutut saya terkoyak lagi. 

"Saya tidak menyedarinya dan rupanya telah beraksi agak lama dalam keadaan tercedera dan bagi meneruskan karier, saya melakukan dua pembedahan lagi di London berselang tiga bulan. 

"Ia sukar tetapi setiap hari saya menunjukkan peningkatan dan saya melihat ke arah positif," katanya. 




Wee Wern tetap memandang positif di sebalik rintangan yang melandanya apabila  tidak lagi bersikap sambil lewa terhadap setiap kejohanan. 

"Sebelum ini saya sangka semua kejohanan adalah serupa, tidak begitu menghargainya.

"Baik dalam Sukan Asia, Sukan Komanwel mahu pun Kejohanan Dunia tetapi selepas lama tersisih, saya mula menikmatinya kerana menyedari ia (karier ini) tidak akan bertahan lama," katanya lagi. 

Walaupun menempuhi tiga pembedahan serius, dia membuktikan reputasinya sejak menggalas peranan utama susulan persaraan Nicol apabila menjuarai pertandingan kebangsaan itu musim lalu. 

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen