Kuala Lumpur meneruskan kemaraan ke final Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan Piala Agong 2017 selepas melakar kemenangan besar ke atas Johor dalam aksi separuh akhir, hari ini.

"Penyokong yang hadir melebihi jangkaan saya. Johor menampilkan persembahan di bawah keupayaan dan ia memeranjatkan saya.

"Saya berpuas hati dengan corak permainan kami," kata jurulatih Kuala Lumpur, Looi Seng Loon.

Pertemuan yang berlangsung di Cyberjaya itu menyaksikan Kuala Lumpur menjadi pilihan dengan reputasi sebagai naib juara musim lalu.

Malah, skuad kendalian Seng Loon itu yang diperkuatkan dengan kelibat beberapa pemain kebangsaan, antaranya Nur Izzati Yaacob, bermula garang dengan corak permainan pantas.

Nyata, strategi itu sedikit memerangkap Johor yang lambat menemui rentak bagi menyaingi lawan.

Hasilnya, Kuala Lumpur selesa mendahului 52-27 selepas tamat suku kedua menuju rehat.

Kebangkitan yang cuba dijelmakan Johor tidak menjadi kenyataan apabila Kuala Lumpur mengekalkan rentak sama bagi menutup permainan dengan keputusan 87-57.

"Kami membuat terlalu banyak kesilapan hari ini. Pemain kebangsaan yang ada dalam pasukan saya juga tidak beraksi baik.

"Kami tidak memberi tumpuan dalam permainan, baik dari segi serangan mahupun bertahan, kami gagal melaksanakannya dengan baik," kata jurulatih Johor, Thoh Chai Ling.

Menanti Kuala Lumpur dalam final adalah juara bertahan, Selangor, yang menewaskan Melaka dalam satu lagi pertembungan separuh akhir.

Awal permainan menyaksikan aksi seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan itu untuk memungut mata.

Hanya dalam suku ketiga, Selangor mula meningkatkan tempo permainan dengan hanya kehilangan tiga mata kepada Melaka.

Rentak itu dikekalkan Selangor untuk menamatkan permainan dengan keputusan 64-40.

Sementara itu, Negeri Sembilan semakin menghampiri gelaran ketiga berturut-turut selepas mencatat kemenangan 72-51 ke atas Sarawak dalam aksi separuh akhir lelaki.

Turut diperkuatkan dengan pemain kelahiran Amerika Syarikat (AS), Perry Lim, Negeri Sembilan bagaimanapun ketinggalan 19-14 dalam suku pertama.

Hanya memasuki suku kedua, skuad kendalian bekas jurulatih kebangsaan, Brian Lester, itu menemui momentum untuk mengumpul 23 mata bagi mengambil alih teraju permainan.

Rentak itu dapat dikekalkan Negeri Sembilan biarpun mendapat tentangan hebat Sarawak. Begitupun, juara menanti itu nyata berada dalam kelas tersendiri dan kemenangan yang diraih meletakkan mereka selaku pilihan dalam aksi final, esok.

Penghalang terakhir mereka adalah Melaka yang mudah menyingkirkan PDRM 106-74.