Atlet wushu negara, Yeap Wai Kin, tidak gentar dengan persaingan rakan senegara, Wong Weng Son, dalam tiga kategori sama menjelang Sukan Asia Jakarta-Palembang, Ogos tahun depan.

Kredibiliti Weng Son lebih menyerlah menerusi kejayaan di peringkat dunia jika dibandingkan dengan Wai Kin sebagai pemegang dua pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selain dua pingat gangsa dalam Kejohanan Dunia baru-baru ini.

Wai Kin tiada rasa gentar, malah dia tidak sabar untuk bersaing dengan rakan baiknya sendiri dalam usaha memburu emas pertama dalam Sukan Asia buat kali pertama sejak pembabitannya dalam sukan wushu pada 2009.

Tegas Wai Kin, keterujaannya begitu luar biasa apabila rakan baiknya sendiri merupakan pencabar utama dalam tiga acaranya, iaitu changquan, jianshu dan qiangshu.

"Dia adalah sahabat saya dan saya telah mengenalinya selama enam tahun. Jurulatih mengambil persaingan kami sebagai sesuatu yang positif untuk meraih kejayaan untuk Malaysia," katanya.

Wai Kin dan Weng Son merupakan sahabat baik yang bersama-sama menjejak kaki ke dalam skuad negara namun, gemerlap bintang Weng Son lebih awal menyerlah.

Tegas Wai Kin, walaupun terpaksa menunggu lapan tahun untuk beraksi dalam Sukan Asia, segala usahanya berbaloi ditambah dengan penyenaraian namanya sebagai atlet baru dalam Program Podium 2018.

"Saya sangat gembira kerana terpilih untuk diserapkan dalam program ini. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada jurulatih dan pihak Institut Sukan Negara (ISN) yang memilih saya."