Vickneswaran gusar keharmonian KHM, KLHA tergugat

Oleh Penulis Jemputan 17 November 2019 194
Vickneswaran gusar keharmonian KHM, KLHA tergugat
Timbalan Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA), I. Vickneswaran, bimbang hubungan baik dengan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) akan terjejas apabila wujud individu yang melakukan tuduhan terhadap presiden badan kebangsaan itu, Datuk Seri Subahan Kamal.

Dia kecewa apabila KLHA hanya menghantar seorang perwakilan untuk mengundi dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) KHM semalam.

Ia menggambarkan wujud masalah di antara KLHA dan KHM memandangkan mereka ahli gabungan yang paling hampir dengan venue AGM tetapi bekas pemain tengah kebangsaan, Vickneswaran, menegaskan tindakan itu tidak mencerminkan KLHA secara menyeluruh.

"Itu adalah di antara presiden dan KHM. Itu bersifat peribadi. Janganlah kami campur kerana KLHA mewakili warga Kuala Lumpur, jadi mereka perlu diberi peluang sama. Saya percaya kepimpinan dalam KHM akan berlaku adil," katanya.

Presiden KLHA, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin, menarik diri daripada jawatan timbalan presiden KHM sehari sebelum AGM berlangsung, sekali gus menyaksikan Jadadish Chandra menang tanpa bertanding.

Ahli jawatankuasa eksekutif KLHA akan membincangkan isu tersebut dalam mesyuarat majlis Sabtu ini.

Sementara itu, Vickneswaran meramalkan lebih ramai pemain muda berbakat akan dilahirkan selepas tujuh individu aktif di peringkat akar umbi menang jawatan naib presiden KHM.

"Sudah tentu kerana jika dilihat mana-mana sukan menerusi dasarnya, ia sangat penting. Saya percaya ketika ini pembangunan akan menjadi fokus."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen