Jurulatih negara, Andris Vasiljevs, tidak berdepan masalah untuk meninggalkan kem kebangsaan jika itu yang dihajati Persekutuan Karate-do Malaysia (Makaf) meskipun Sukan Olimpik Tokyo 2020 berbaki kurang dua tahun lagi.

Vasiljevs, yang sudah berada di Malaysia sejak 2012, sedia pulang ke Latvia walaupun kontraknya berbaki sehingga Jun tahun depan.

Setiausaha Agung Makaf, Datuk Nur Azmi Ahmad, berkata nasib Vasiljevs akan dibincangkan dalam masa terdekat selepas majlis tertinggi badan induk itu bersetuju menamatkan khidmatnya.

Ia susulan prestasi buruk skuad negara dalam Sukan Asia Indonesia yang lalu apabila hanya meraih satu pingat gangsa.

"Keputusan bukan terletak di tangan saya.

"Saya sudah melaksanakan banyak tugasan sepanjang tahun ini, Makaf perlu melakukan apa yang diperlukan.

"Makaf adalah badan induk karate-do, jadi saya tidak boleh mengulas lanjut memandangkan saya tidak mendapat sebarang maklumat terkini," ujar jurulatih itu.

Skuad negara ketika ini dalam persiapan akhir menghadapi Kejohanan Dunia di Madrid, Sepanyol, bermula 6 November ini.

Atlet kumite tetap fokus biarpun belum diputuskan siapa yang akan mengibar cabaran negara.

"Saya menang pingat perak dalam Kejohanan Dunia selain menduduki ranking nombor satu dunia. Sementara itu, dalam Kejohanan Dunia baru-baru ini, saya beraksi dalam perebutan gangsa.

"Ini disebabkan hasil didikan Vasiljevs.

"Memang agak menyedihkan sekiranya dia pergi, saya harap keajaiban akan berlaku pada saat-saat akhir," kata atlet kumite 55kg negara, Syakilla Salni Jefry Krishnan.

Atlet lelaki kumite 75kg negara, R. Sharmendran, menambah: "Saya harap Vasiljevs kekal.

"Daripada seorang yang tidak mempunyai apa-apa, dia membentuk saya menjadi seorang yang boleh berjasa.

"Saya pasti akan gembira jika beliau kekal, namun kalau Makaf sudah memutuskan untuk membuat perubahan, maka saya terpaksa akur."