Usaha menghidupkan semula Persatuan Sepak Takraw Negeri Perak (PSNP) yang telah dibatalkan pada awal tahun ini bermula dengan penubuhan sebuah jawatankuasa penaja hari ini.

Sebanyak tujuh persatuan daerah bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa penaja persatuan baru itu yang akan dikenali sebagai Persatuan Sepaktakraw Perak Darul Ridzuan (PERSEDAR).

Setiausaha jawatankuasa itu, Mohd Jaffrey Mohd Zainol, berkata bekas Setiausaha Usaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, dilantik sebagai presiden.

Timbalan presiden ialah Datuk Seri Mad Zain Zakaria sementara Syamsul Istar Ibrahim Istar sebagai bendahari.

Katanya, jawatankuasa penaja bertanggungjawab untuk menubuhkan semula persatuan negeri, termasuk daripada aspek pendaftaran dengan Pesuruhjaya Sukan sehingga mesyuarat agung yang akan diadakan dalam tempoh enam bulan.

"Persatuan penaja akan mengambil alih semula tanggungjawab pengurusan pasukan negeri daripada Pasukan SUK Perak, termasuk hal ehwal pemain, jurulatih dan pengadil," ujarnya.

Menurut Mohd Jaffrey penubuhan jawatankuasa itu telah dimaklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Belia dan Pembangunan Modal Insan Negeri, Howard Lee Chuan How, yang turut dicadangkan untuk dilantik sebagai penasihat persatuan.

Persatuan ini diharap akan menjadi titik tolak kepada corak pengurusan negeri dengan lebih teratur melalui pentas yang tepat.

Pendaftaran sedang dalam proses didaftarkan dengan khidmat nasihat Pesuruhjaya Sukan selepas persetujuan dicapai melalui mesyuarat penaja tersebut berkenaan perlembagaan persatuan yang baru serta matlamat jangka pendek sebelum AGM dilaksanakan dalam tempoh enam bulan.

"Misi pertama jawatankuasa penaja itu adalah memastikan Perak mempertahankan Piala Emas Khir Johari yang dijadualkan pada April 2019," katanya.

Sukan sepak takraw berada di bawah jagaan SUK sejak 2016 berikutan masalah yang melanda PSNP.

Dalam tempoh itu, skuad Perak mencapai kejayaan dalam Piala Emas, GP Sirkit 2018, Sukma dan Liga Sepak Takraw (STL).