Usah pinggirkan sukan bina badan -- Malek

Oleh Staff Writer 18 Disember 2018 84
Usah pinggirkan sukan bina badan -- Malek
Bekas jaguh bina badan negara, Datuk Malek Noor, meminta badan bertanggungjawab tidak meminggirkan sukan itu dalam menjadi sebahagian daripada acara Sukan SEA Manila 2019. 

Pencapaian atlet negara yang terus cermerlang dalam Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia yang lalu meyakinkan Malek bahawa sukan itu berpotensi menyumbang pingat emas buat negara dalam temasya berprestij itu. 

Kali terakhir bina badan dipertandingkan di pentas Sukan SEA adalah ketika edisi 2013 di Myanmar di mana Malaysia meraih satu emas menerusi Wong Ngai Hoeng. 

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mencadangkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) agar usaha dipertingkatkan bagi memastikan sukan itu disenaraikan dalam Sukan SEA nanti. 

"Kalau dicadangkan kali ini, saya rasa tiada masalah untuk mendapatkan dua atau tiga emas. Saya mengikuti perkembangan wakil Malaysia, mereka memang bertaraf antarabangsa, berbeza dengan zaman saya dahulu," kata Malek.

Dalam masa sama, Malek menganggap bina badan mempunyai masa depan yang cerah selepas kemunculan beberapa  pelapis yang boleh menyambung legasi sukan tersebut. 

"Tahap kami memang jauh jika dibanding dengan sekarang. Malaysia memiliki banyak bakat baru serta pelapis untuk menjadi pengganti di masa akan datang."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen