Kes doping dalam kancah sukan negara makin menular apabila jaguh muay thai negara, Muhammad Rafi Abd Manaf, disahkan positif bahan terlarang jenis diuretik selepas Persekutuan Muay Thai Amatur Asia (FAMA) menolak rayuannya untuk ujian sampel B dijalankan.

Justeru, usaha Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM) untuk membantu Rafi melihat proses ujian sampel B di New Delhi, India, tidak kesampaian.

Ia susulan salah faham di antara PMM dan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) mengenai tarikh permohonan yang sepatutnya dilakukan dalam tempoh tiga bulan selepas keputusan sampel A dikeluarkan.

Ini bermakna, Rafi perlu menghadap Jawatankuasa Siasatan FAMA di Bangkok, Thailand, 18 Januari depan.

"Kebiasannya, makmal anti-doping hanya menyimpan sesuatu sampel itu selama tiga bulan sahaja. Oleh kerana ia sudah melebihi tempoh itu, maka tiada peluang untuk sampel B dijalankan.

"Oleh itu, pihak persatuan hanya akan mengadakan sesi pendengaran kes sebelum menjatuhkan hukuman," ujar Timbalan Pengarah ADAMAS, Nishel Kumar.

Rafi dikesan positif diuretik ketika ADAMAS mengadakan ujian saringan anti-doping sebelum atlet menyertai Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Jika didapati bersalah, dia berdepan penggantungan maksimum selama empat tahun.