UFC: Khabib akan umumkan mengenai masa depannya

Oleh Muzaffar Musa 17 Jun 2020 229
UFC: Khabib akan umumkan mengenai masa depannya
Juara lightweight UFC, Khabib Nurmagomedov, akan mengadakan satu pengumuman dalam masa terdekat.

Perlawanan UFC 249 di antara Khabib dan Tony Ferguson, yang sepatutnya berlangsung pada April lalu, terpaksa dibatalkan gara-gara sekatan perjalanan, yang menyaksikan dia tidak dapat meninggalkan Russia.

Justin Gaethje mengisi kekosongan itu dalam pertarungan yang dijadualkan semula bulan lalu dan tidak berdepan masalah untuk menewaskan Ferguson bagi menobatkan dirinya selaku pemegang gelaran sementara kategori lightweight.

Presiden UFC, Dana White, meluahkan keinginannya untuk mengadakan pertarungan di antara Gaethje dan Khabib di gelanggang Octagon pada September depan dan bintang MMA tanpa kalah itu berkata dia akan memberikan satu makluman mengenai masa depannya dalam masa terdekat.

Dalam satu kiriman Instagram yang tertera gambarnya bersama dua lagi atlet tempur Dagestan,  Zubaira Tukhugov dan Abubakar Nurmagomedov, Khabib berkata: "Kedua-dua mereka ini bekerja keras sepanjang musim panas dan akan kembali bertarung pada permulaan musim luruh (September). Kami mendoakan kejayaan mereka.

"Mengenai masa depan saya, saya akan membuat satu pengumuman tidak lama lagi," katanya.
 

Bapa Khabib, Abdulmanap Nurmagomedov, dimasukkan ke hospital bulan lalu bagi menjalani pembedahan jantung yang disebabkan komplikasi daripada masalah kesihatan selain dijangkiti Covid-19.

Berdasarkan pengurus Khabib, Ali Abdelaziz, keadaan Abdulmanap semakin baik tetapi masih serius.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen