Ucapan perdana menteri rangsang semangat Izzah 

Oleh Shaiful Shamsudin 17 Mei 2020 113
Ucapan perdana menteri rangsang semangat Izzah 
Semangat gimnas negara, Izzah Amzan, semakin membara untuk terus mengharumkan nama negara selepas menerima penghargaan daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sempena Hari Guru semalam, Muhyiddin menjadikan atlet gimnastik negaraitu sebagai contoh anak murid yang berjaya dididik oleh gurunya apabila menyumbang dua pingat emas dan satu perak dalam Sukan SEA Filipina 2019.

"Penat lelah guru kita telah melahirkan murid yang berjaya seperti adik Izzah Amzan daripada Sekolah Sukan Bukit Jalil. 

"Adik Izzah merupakan pemenang pingat emas dalam Sukan SEA Filipina," kata perdana menteri dalam ucapan yang disiarkan secara langsung semalam.

Izzah, yang kini mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tidak menyangka namanya akan dijadikan contoh dan terharu dengan ucapan itu.

"Ia menyuntik semangat saya untuk lebih berusaha dan mencapai kejayaan yang lebih tinggi," katanya ketika ditemu bual di atas talian oleh wartawan Nadi Arena, Nurul Syakirah Zulkifly.




Bagaimanapun, atlet berusia 20 tahun itu terpaksa menghadapi kontroversi di sebalik kejayaan tersebut selepas Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC) menarik semula emas yang diraihnya walaupun mencatat kutipan mata 15.200 bersama-sama seorang lagi peserta negara, Koi Sie Yan.

"Saya berasa tercabar untuk buat yang lebih baik. 

"Apa yang berlaku di Filipina sudah pun menjadi sejarah dan saya tidak dapat berbuat apa-apa lagi.

"Tetapi saya akan tunjukkan (kewibawaan) di Vietnam kelak supaya ia (kejayaan itu) tidak boleh ditarik balik."

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen