Tujuh atlet para negara yang memiliki masalah ketidakupayaan intelektual bakal diuji semula bagi mendapatkan sijil pengesahan yang dikeluarkan Persekutuan Sukan Antarabangsa (INAS).

Ujian itu perlu dilakukan dua tahun sekali bagi menilai kekurangan atlet para negara, sama ada semakin pulih atau sebaliknya.

Andai ada perubahan, ia mampu mengubah klasifikasi atlet terbabit dalam mana-mana kejohanan yang mendapat pengesahan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC).

Ketujuh-tujuh atlet ini bakal melalui dua proses ujian psikologi klinikal secara lisan mahupun bertulis yang dilakukan pegawai yang mendapat kelulusan INAS sendiri dan keputusan daripada ujian itu bakal dihantar ke Itali untuk pendaftaran INAS.

Sebagai contoh, atlet para negara, Ziyad Zolkefli, hanya menjalani ujian itu sekali iaitu di London 2012, sepanjang lapan tahun pembabitannya dalam sukan para.

"Perkara yang paling ketara ialah ketika Ziyad bertutur. Selain daripada itu, jika dia mengambil makanan yang terlalu banyak ia akan memberikan kesan hiperaktif kepadanya," kata jurulatihnya, Faizol Harun.

Ujian itu penting kerana jika atlet gagal melepasi tahap ketidakupayaan intektual, status para yang ada pada mereka tidak akan diiktiraf dan dihalang daripada menyertai mana-mana kejohanan.