Pasukan bertaraf benua, Terengganu Cycling Team (TSG), masih tidak berani menceburi Jelajah Dunia walaupun muncul sebagai pasukan nombor satu Jelajah Asia berdasarkan ranking terkini Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

TSG mendapat suntikan semangat menjelang musim baru apabila berada di kedudukan pertama Jelajah Asia dengan 2,658 mata, diikuti di tempat kedua oleh Team Sapura Cycling (TSC) berbekalkan 1,822.22 mata.

Walaupun berjaya menawan Jelajah Asia musim ini, Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus, menjelaskan pasukan mereka masih belum bersedia untuk menceburi saingan bertaraf lebih tinggi, iaitu Jelajah Dunia.

"Untuk mencapai sasaran itu, kami mungkin perlu mengkaji 30 peratus daripada pelumba yang ada bagi memastikan mampu menghadirkan cabaran, di mana kami lihat dalam tempoh terdekat, tidak bagus untuk program pembangunan sukan basikal, khususnya pelumba tempatan," katanya.

"Ia disebabkan kebanyakan mereka belum sedia untuk membawa cabaran ke peringkat lebih tinggi, terutama Jelajah Dunia."

TSG kendalian Jeremy Hunt itu dilihat sebagai antara pasukan terbaik musim ini dengan laman web UCI menyenaraikan senarai pelumba berkualiti dimiliki mereka.

Pemenang jersi kuning Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018, Artem Ovechkin dari Russia, mengetuai senarai selain Eyob Metkel, Maral-Erdene Batmunkh, serta gandingan adik-beradik, Mohd Zamri Saleh dan Harrif Saleh.