Trek Piala Dunia: Azizulhasni tidak alami kecederaan serius

Oleh Penulis Jemputan 15 Disember 2019 308
Trek Piala Dunia: Azizulhasni tidak alami kecederaan serius
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abdul Wahab, mengesahkan jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang, tidak mengalami kecederaan serius dan tahap kesihatannya semakin baik.

Menurutnya, tahap kesihatan Azizulhasni yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman itu beransur pulih selain tiada sebarang kecederaan yang serius.

Beliau juga menjelaskan pelumba berusia 31 tahun itu hanya mengalami kesakitan di bahagian tulang rusuk ketika terseret jatuh dan bergeseran di atas permukaan kayu.

Azizulhasni mengalami kemalangan ketika beraksi dalam saingan Siri Kelima Piala Dunia di Brisbane, Australia dalam acara keirin, semalam.

"Doktor mengesahkan dia tidak ada apa-apa. Saya tengok dia juga sudah boleh bangun daripada katil, jadi kami anggap dia bertambah baik. Ia tidak begitu serius dan semua mengharapkan dia lekas sembuh agar dapat beraksi semula dalam Kejohanan Dunia yang akan datang Februari depan," kata Abu Samah.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, menegaskan betapa istimewanya semangat Azizulhasni dalam menangani episod malang yang dilalui di Brisbane itu.

The Pocket Rocketman sebelum ini pernah mengalami kemalangan lebih serius di trek ketika saingan Piala Dunia di Manchester, England pada Februari 2011.

Tatkala Malaysia menaruh harapan kepada pelumba itu sebagai prospek pingat emas negara di pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020, kesihatan Azizulhasni jelas lebih penting ketika ini.

"Pada mulanya, kami juga cemas apabila dia ditimpa kemalangan, lebih-lebih lagi insiden itu agak menakutkan tetapi Alhamdulillah dia semakin sihat. Dia telah berehat di rumah dan kami yakin Azizulhasni yang pernah melalui kecederaan yang lebih serius mampu menghadapinya," katanya.

Dalam masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli, mengesahkan kecederaan yang dialami Azizulhasni hanya memerlukan sekitar dua minggu untuk pulih.

"Kalau dilihat daripada kecederaan itu, saya rasa dalam dua minggu dia akan pulih dan akan meneruskan programnya. Pasukan Azizulhasni akan kembali ke Kuala Lumpur bulan depan bagi menghadapi saingan Kejohanan Dunia pada Februari nanti, jadi kami akan pantau pada waktu itu," katanya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen