Pengarah Sukan Mitchelton-Scott, Matt White, percaya Tour de France boleh teruskan mengikut jadual asal tanpa kehadiran penonton selain berpendapat penganjuran perlumbaan itu mungkin adalah pilihan terbaik.

Acara jelajah paling berprestij itu dijadualkan pada 27 Jun hingga 19 Julai depan tetapi penganjuran tahun ini diragui kerana krisis wabak koronavirus baru (Covid-19).

Menteri Belia dan Sukan Perancis, Roxana Maracineanu, minggu lalu mendedahkan perlumbaan itu boleh diberikan lampu hijau dengan mengadakan kayuhan tanpa peminat di sepanjang laluan, bergantung kepada situasi pada waktu itu.

White, yang mendedahkan bahawa kira-kira 85 hingga 90 peratus pasukannya sedang mengamalkan had pergerakan, berkata perlumbaan tanpa orang ramai tetap menjadi topik perbincangan -- namun keselamatan mereka yang terlibat merupakan elemen paling penting.


Dia berkata: "Tour de France tanpa orang ramai akan menjadi pelik tetapi banyak perlumbaan awal musim ini termasuk perlumbaan yang lebih kecil tidak menarik kunjungan ramai. Ia akan menjadi pelik buat pelumba untuk bersaing dalam kejohanan utama tanpa kehadiran penonton tetapi ia akan berfungsi.

"Sekalipun hanya ada 2,000 orang yang akan melakukan terlibat dalam perlumbaan itu, ia sesuatu yang positif buat ekonomi Perancis dan jelas sekali penonton di televisyen akan meningkat memandangkan orang ramai mencari sesuatu untuk ditonton dan sebaik sukan kembali, saya yakin ia akan menjadi sangat bernilai.

"Ia akan berdaya maju dan kami boleh melakukannya tetapi persoalan yang lebih besar adalah bagaimana kami boleh menjelajah Perancis dengan selamat. Pada penghujung hari, ia perlu selamat untuk rakyat Perancis, selamat untuk semua orang dalam kumpulan perjalanan itu dan ia boleh dilaksanakan menerusi sumber Perancis."