Peninju profesional negara, Farkhan Haron, berpeluang cerah untuk mempertahankan tiga tali pinggang kejuaraan selepas pencabarnya, Pascal Ndomba, lewat tiba di Malaysia ekoran masalah imigresen menjelang Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Iskandar Puteri malam esok.

Kelebihan nyata berpihak kepada peninju negara itu

Ndomba tidak sempat menghadiri sesi timbang berat badan ketika Farkhan melepasi had 90.7kg untuk mempertahankan tiga tali pinggang kategori cruiserweight.

Penganjur akan mengadakan sesi berasingan untuk Ndomba dengan kebimbangan juara cruiserweight Afrika itu tidak cukup rehat.

"Ia mungkin satu kelebihan buat saya kerana dia masih belum tiba tetapi ia melibatkan gelaran.

"Tiga gelaran dipertaruhkan dan dia memiliki persiapan yang cukup bagus.

"Kami tahu bagaimana pertarungannya sejak lima bulan lalu dan kami akan memberikan segala-galanya malam esok," katanya.

Farkhan memegang rekod bersih 10 kemenangan daripada 10 pertarungan.

Dia berpeluang mencipta rekod lebih besar dalam arena tinju profesional seandainya memenangi pertarungan itu.

"Jika dia (Farkhan) memenangi pertarungan malam esok, dia akan melonjak ke tangga keenam atau kelima dunia," kata pesuruhjaya Persekutuan Tinju Profesional Malaysia, Alexander Shah.

"Ia akan menjadi pertarungan yang menarik.

"Bukan mudah untuk menghadapi Pascal kerana dia memenangi gelaran juara cruiserweight Afrika," katanya.

Daripada pihak penaja, kami boleh katakan yang tiket laris terjual," tambah pengarah kejohanan, Mohd Ali Karim.

"Tiket platinum dan emas sudah habis terjual, jadi untuk mendapatkan tiket-tiket selainnya, anda perlu segera dan menyaksikannya sendiri," katanya lagi.

Sementara itu, dua lagi peninju profesional negara, M. Eswaran (B-65kg) dan Eddy Kalai (B-59kg), mempunyai misi peribadi termasuk memburu tali pinggang kejuaraan pertama kategori welterweight Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA).

"Saya sudah melakukan persiapan terbaik, jadi saya akan melakukan yang lebih baik kerana beraksi di tempat sendiri," kata Eswaran.

"Ia satu kelebihan dan kita akan lihatnya nanti."

Eddy menambah: "Saya akan mencuba untuk memenangi perlawanan ini kerana ia merupakan perlawanan kelima saya."


Editor: Muzaffar Musa